Lelaki didenda ceroboh hutan simpan



 ALOR SETAR: Seorang lelaki didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan memasuki Hutan Simpan Koh Moi, dekat Sintok, tanpa kebenaran pada 9 Mac lalu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh, Mohd Hasnizam Abd Hamid, 32, dipenjara selama 18 bulan jika gagal membayar denda itu.

Hakim Murtazadi Amran membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah dan berpuas hati dengan keterangan pihak pendakwaan dan pembelaan dalam kes berkenaan.

Mohd Hasnizam bersama Harun Mat, 64, dan seorang lagi rakan yang masih bebas, Abd Jalal Mohamad, 31, didakwa memasuki kawasan Kompartmen 11, Hutan Simpan Koh Moi, tanpa memiliki lesen, permit atau apa-apa kebenaran.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 47 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Harun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung, Mason Jaro Lenya Barayan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 20 Ogos depan.

Sementara itu di mahkamah sama, lima lelaki mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu menceroboh dan membersihkan Kompartmen 11 hutan simpan sama pada tarikh sama.

Mengikut pertuduhan, Saiful Rizan Mohd Noh, 36; Muhamad Farizul Azman Husain, 38; Mohamad Shuib Saad, 42; Nordin Puteh, 54; Abdullah Hassan, 57, dan seorang lelaki etnik Rohingya yang masih bebas, Moktul Husson Guramiah didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat mengusahakan kawasan hutan simpan tanpa kebenaran sah.

Mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 81(1)(g) Akta Perhutanan Negara 1984 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka masing-masing didakwa membersih atau membajak mana-mana tanah untuk tujuan tanaman tanpa kebenaran yang sah.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 81(1)(e) Akta Perhutanan Negara 1984 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan bagi kedua-dua pertuduhan, masing-masing boleh didenda sebanyak RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung, Fazilah Mansor, dengan empat tertuduh kecuali Abdullah diwakili peguam, Mohd Ghazaly Abd Rahman.

Murtazadi membenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 20 Ogos depan.