Warna-warni hari bersejarah


SAMBUTAN Hari Kebangsaan antara acara tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan rakyat Malaysia.
Kemeriahan sambutannya yang berwarna-warni ditambah dengan laungan lagu tema dan patriotik secara tidak langsung menguatkan lagi rasa kecintaan rakyat kepada negara.
Tidak ketinggalan, sambutan Hari Kebangsaan peringkat sekolah juga sentiasa mencuri perhatian.
Telatah murid memperaga pakaian kebangsaan dengan pelbagai pertandingan dan aktiviti memberikan keseronokan tersendiri buat mereka.
Guru juga tidak kurang hebatnya memperlihatkan kreativiti masing-masing dalam menghias sekolah, sekali gus menyemarakkan semangat kebangsaan.
Disebabkan penularan pandemik Covid-19, sambutan Hari Kebangsaan sedikit berubah bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan fizikal dipatuhi.
Meriah? Ia tetap meriah, tetapi 'kemeriahan' itu sedikit berbeza mengikut SOP yang ditetapkan.
MURID menampal kertas warna dijadikan bendera.
MURID menampal kertas warna dijadikan bendera.
PELAJAR menjalankan aktiviti dalam bilik darjah.
PELAJAR menjalankan aktiviti dalam bilik darjah.
MURID membawa bendera untuk diserahkan pada 15 bilik darjah.
MURID membawa bendera untuk diserahkan pada 15 bilik darjah.
Guru Besar SK Taman Klang Utama, M Khalimi Dahlan berkata, tidak dinafikan kemeriahan sambutan bulan kebangsaan tahun ini berbeza tidak sama seperti tahun sebelumnya, tetapi matlamatnya sampai.
Katanya, aktiviti yang dilaksanakan sepanjang bulan kebangsaan ini memberi nilai tambah mengenai Hari Kebangsaan walaupun kebanyakan aktiviti dilaksanakan dalam bilik darjah.
"Dengan mengamalkan norma baharu ini, kebanyakan sekolah melaksanakan sambutan sama iaitu hanya melakukan aktiviti dalam bilik darjah.
"Namun sambutan kami tahun ini, ia bukan saja pembabitan murid dan guru, tetapi juga pihak swasta iaitu pengusaha kantin, pengawal keselamatan serta pekerja pembersihan, sekali gus menjadi acara ini 'Hari Kebangsaan Bersepadu'," katanya.
Pembabitan pihak swasta ini bukan saja dari segi sumbangan, tetapi mereka turut menghias kantin dan pondok mengawal selain berpakaian memenuhi tema Hari Kebangsaan.
Bukan itu saja, kata M Khalimi, sambutan Hari Kebangsaan ini juga punya keunikan tersendiri dengan pembabitan anggota keselamatan.
"Menambahkan keunikan sambutan, ucapan perasmian yang disempurnakan Ketua Polis Daerah Klang Utama, ACP Nurul Huda Mohd Salleh divideokan selain penyerahan bendera untuk dikibarkan ke 15 bilik darjah diiringi 30 murid yang lengkap dengan pakaian beruniform.
"Murid juga tidak hanya menunggu sebaliknya mereka menyanyikan lagu patriotik beramai-ramai, sekali gus menyemarakkan sambutan," katanya
Mengadakan acara keraian dengan norma baharu ini tidak sukar, tetapi seronok. Ini kerana tiada istilah kesukaran bagi M Khalimi.
BENDERA dikibar di koridor sekolah untuk menyemarakkan sambutan.
BENDERA dikibar di koridor sekolah untuk menyemarakkan sambutan.
WAKIL pelajar menerima bendera sebelum dikibarkan dalam bilik darjah.
WAKIL pelajar menerima bendera sebelum dikibarkan dalam bilik darjah.
GAMBAR kenangan barisan pentadbiran sekolah ketika sambutan hari kebangsaan SK taman klang Utama
GAMBAR kenangan barisan pentadbiran sekolah ketika sambutan hari kebangsaan SK taman klang Utama
Oleh itu, walaupun pergerakan dan aktiviti yang dilaksanakan perlu mematuhi SOP, ia tidak mengehadkan kreativitinya dan guru penyelaras.
"Bulan kebangsaan ini adalah rutin tahunan dan aktiviti yang sudah disenaraikan dalam kalendar sekolah. Guru penyelaras juga sudah ditentukan dari awal tahun.
"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), guru berkenaan sudah melakukan pelbagai perbincangan bagi melaksanakan tanggungjawab diberikan.
"Walaupun pergerakan terhad, tetapi mereka bijak menggunakan kemudahan dan teknologi, sekali gus menjadikan tugas mereka lebih mudah," katanya.
Berpengalaman menjadi pendidik selama 32 tahun, kata M Khalimi, menyanyikan lagi Hari Kebangsaan dan lagu patriotik dengan kibaran bendera secara beramai-ramai adalah kemuncak sambutan.
Itu momen yang sangat dirindui M Khalimi dalam sambutan Hari Kebangsaan ini.
"Apabila lagu patriotik yang memberikan makna mendalam mengenai hari kebangsaan kita ditambah dengan kibaran jalur gemilang secara beramai-ramai 'semangatnya' sangat berlainan.
"Namun, tahun ini semangat itu tidak dapat dirasai dan pastinya akan saya rindui," katanya.