Polis ucap tahniah kepada penguat kuasa MBJB, orang awam


POLIS mengucapkan tahniah atas keberanian dan tindakan pantas penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan orang awam yang berjaya menahan peragut di Taman Mount Austin, Johor Bahru, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, suspek berusia 32 tahun diserahkan kepada polis oleh orang awam.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, suspek meragut beg tangan wanita berusia 30 tahun namun terjatuh bersama motosikal ditunggangnya.

"Mangsa menjerit meminta bantuan dan seorang anggota penguat kuasa MBJB yang sedang bertugas serta orang awam berjaya menahan suspek.

"Dalam kejadian itu, mangsa calar di lengan kiri manakala suspek diserahkan kepada polis yang tiba di tempat kejadian sejurus menerima maklumat," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Padzli berkata, polis merampas motosikal digunakan suspek, topi keledar dan beg tangan mangsa sebagai barang kes.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebat jika sabit kesalahan," katanya.